Pendaki cedera terpaksa dibawa turun guna helikopter
Pendaki cedera terpaksa dibawa turun guna helikopter
GERIK: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemui dalam keadaan separuh sedar dan terpaksa dibawa turun menggunakan helikopter selepas dipercayai tergelincir ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Kenderong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Muhammad Arip Mohammad Isa yang beralamat di Kampung Air Ganda, dekat sini, tergelincir pada ketinggian 1,000 meter ketika menuruni gunung berkenaan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, anggota bomba dimaklumkan mangsa bersama beberapa rakan-rakannya menjalankan aktiviti pendakian di Gunung Kenderong, namun mangsa tergelincir ketika mereka menuruni gunung terbabit.
"Muhammad Arip ditemui dalam keadaan separa sedar pada jam 4.22 petang pada ketinggian 1,000 meter dari kaki Gunung Kenderong.
"Keadaan mangsa yang cedera menyebabkan anggota bomba meminta bantuan unit udara bomba bagi membawa mangsa turun ke kawasan lapang pada jam 5.38 petang sebelum diserahkan kepada ambulans," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum menggerakkan pasukannya ke lokasi kejadian
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan 23 anggota bomba, lima anggota polis dan lima kakitangan Jabatan Perhutanan serta orang awam bagi mengesan lokasi mangsa.
"Sebaik mangsa ditemui, pasukan bomba menggunakan helikopter membuat pendaratan di kawasan pergunungan berkenaan dan menggunakan pengusung bagi memindahkan mangsa untuk dibawa ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.
Post a Comment