68 pelajar perintis daftar program Asasi STEM UMT
68 pelajar perintis daftar program Asasi STEM UMT
KUALA NERUS, 3 Jun (Bernama) -- Seramai 68 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mendaftar sebagai perintis program Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.
Pengarah Pusat Asasi STEM, Dr Laili Che Rose berkata program Asasi STEM yang dibangunkan sejak 2016 itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan empat bidang fokus dalam satu kursus dan menggunapakai modul yang dibangunkan oleh universiti itu sendiri.
"Asasi STEM sangat unik kerana ia adalah program berfokus dengan asas bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik digabungkan dalam satu kursus melibatkan tempoh pembelajaran selama tiga semester (setahun).
"Ini berbeza dengan program asasi yang ditawarkan di tempat lain. Sebagai contoh pelajar yang mengikuti program sains hayat semestinya akan pergi kepada bidang biologi manakala fizik pula akan mengikuti aliran kejuruteraan.
"Tetapi dengan mengikuti proram asasi STEM, mereka masih berpeluang memilih bidang yang diminati sama ada sains, matematik, jurutera atau Teknologi Maklumat (IT) selepas tamat kursus," katanya kepada pemberita selepas program pendaftaran pelajar Asasi STEM dan Diploma Perikanan di sini hari ini.
Beliau berkata, program ini turut membuka peluang kepada pelajar yang mengikuti aliran sastera ketika di sekolah menengah untuk beralih kepada bidang sains.
Langkah itu dianggap sebagai bertepatan dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan universiti membuka peluang dan laluan kepada lebih ramai pelajar sastera melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sesuai.
"Setakat ini kami menerima tujuh pelajar daripada aliran sastera yang mendapat keputusan A dalam mata pelajaran Sains dan sekurang-kurangnya C+ untuk Matematik Tambahan. Kita beri ruang dan akan pantau perkembangan mereka.
"Jika percubaan ini berjaya, kita akan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar sastera pada masa akan datang mengikuti program asasi STEM di sini. Ini kerana pada tahun ini sahaja seramai 12,000 pelajar aliran sastera tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke IPT dan mereka tidak tahu hala tuju seterusnya," kata beliau.
Selain modul STEM, program asasi UMT juga dilengkapi dengan modul hafazan al-Quran bagi melahirkan pelajar yang seimbang dan cemerlang dalam semua aspek termasuk ilmu agama.
-- BERNAMA
Post a Comment