Header Ads

Tradisi 'Raya Nang' masih kekal

Tradisi 'Raya Nang' masih kekal

HULU TERENGGANU - Tradisi Hari Raya Enam atau disebut 'Raya Nang' pada 8 Syawal yang telah menjadi amalan komuniti, di sini sejak sekian lama masih diteruskan generasi hari ini.
Kelmarin, hampir 1,000 penduduk berkumpul untuk sama-sama memeriahkan Raya Nang sekali gus menjadikan sambutan paling meriah dan terbesar khususnya bagi daerah Hulu Terengganu ini.

Penyelaras program sambutan, Narasid Abu Bakar,44, berkata kemeriahan Raya Nang dalam kalangan komuniti di kampung berkenaan lebih meriah berbanding 1 Syawal kerana penduduk berkumpul beramai-ramai.

"Sambutan Raya Nang telah jadi amalan dan budaya penduduk di sini sejak sekian lama, walaupun orang-orang dulu telah tiada tetapi ia masih diteruskan kerana sejak kecil anak-anak komuniti kampung didedahkan dengan Raya Nang ini.

"Uniknya Raya Nang ini, bermula awal pagi sambutan dimulakan dengan gotong-royong dan bersih tanah perkuburan, bacaan tahlil, jamuan makan serta pemberian duit raya kepada golongan kanak-kanak.

"Tambah menarik apabila juadah menjamu selera dibawa  penduduk. Pelbagai hidangan boleh dinikmati dan konsep begini mengalakkan amalan bersedekah," katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Tambah Narasid, sambutan Raya Nang secara tidak langsung sebagai peluang terbaik untuk penduduk bertanya khabar dan berhari raya bersama mereka yang tinggal di luar kampung berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk Roriah Daud,55, atau dikenali sebagai Moksu Anie berkata amalan tradisi turun-temurun itu pastinya akan mengamit kepulangan mereka yang berhijrah untuk sama-sama raikan Raya Nang.

"Ada yang balik kampung bermula pada Raya Nang dan suasana kemeriahan begitu dirasai. Saya sendiri rasai semua ini bermula sejak umur sekitar tujuh atau lapan tahun setelah berpindah ke kampung ini.

"Sehingga kini tradisi sambutan Raya Nang ini masih kekal dan tentunya kita mengharapkan agar generasi muda di kampung ini dapat teruskan kesinambungan tradisi ini sampai bila-bila," ujarnya.

Untuk info, Raya Enam ialah bagi meraikan mereka yang selesai mengerjakan puasa sunat Syawal enam hari berturut-turut bermula daripada 2 Syawal.

-SUMBER SINAR HARIAN

No comments