Header Ads

Penduduk kampung rayu PPD tidak pindahkan guru dari sekolah

Penduduk kampung rayu PPD tidak pindahkan guru dari sekolah


DUNGUN – Kebetulan hari itu, Cikgu Shanrudin Karim membawa pulang ke sekolah surat-surat yang diambil dari Pejabat Pendidikan Daerah yang ditujukan kepada Guru Besarnya, Azhar Muda, yang kemudian dibuka di hadapannya.
Salah satu surat mengandungi arahan pertukarannya pada bulan pertama sesi persekolahan tahun lalu ke sekolah lain, dan hari itu perkhabaran mengenai Sir Din (panggilan murid-muridnya) akan meninggalkan sekolah mula kecoh seluruh kampung kecil berkenaan.
Tidak menjadi soal baginya, apatah lagi tempat baharu lebih dekat dengan rumahnya di bandar Dungun, pastinya lebih menjimatkan belanja minyak, dan lebihan pendapatan dapat menampung keperluan keluarga terutama adik-adiknya yang masih belajar.
Namun dalam diam penduduk kampung berusaha merayu kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah supaya mempertimbangkan agar mengekalkannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja kerana tidak mahu anak-anak mereka kehilangan guru itu.
“Budak-budak suka kepada dia. Nampak perubahan pelajaran mereka. Kita pun berat nak lepas dia kerana dia bukan minta bertukar, walaupun dah lama di sini,” ujar Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Shahdan Musa, 51, yang kagum dengan semangat para guru di situ.
Shanrudin bersama warga pendidik sekolah itu bagaikan berada dalam keluarga besar masyarakat di situ, mendekati setiap ibu bapa dan turut bersama menyelami permasalahan, di samping mengajak mereka memberi sepenuh kerjasama menjayakan setiap perancangan sekolah.
Justeru Shanrudin, 37, masih kekal di situ hingga kini, dan ini sebahagian daripada kisah hubungan guru, murid dengan masyarakat Kampung Pasir Raja Hulu Dungun, di kawasan pedalaman di daerah ini dalam persekitaran berlatarkan sungai dan bukit-bukau memisahkan dengan sempadan belantara Pahang.
SK Pasir Raja terletak kira-kira 137 kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu dan hampir 100 kilometer dari bandar Dungun, sebuah sekolah kurang murid yang cuma menampung 60 orang murid.
Shanrudin, anak kesembilan daripada 12 orang adik beradik, awalnya hanya bercita-cita menjadi nelayan, mewarisi arwah ayahnya, namun dia berpeluang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memegang ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian.
Pada 2007, dia ditawarkan mengikuti Kursus Pengajian Lepasan Ijazah di Institut Pendidikan Perguruan Sultan Mizan dan ditugaskan mengajar di Sekolah Pasir Raja yang awalnya agak berat untuk diterima, membayangkan jarak dan keadaan.
“Awalnya saya mengajar kelas Pemulihan bagi penguasaan 3M dan Matematik tahun 6 dengan murid yang tidak sampai 10 orang. Di sini bilangan muridnya kecil namun cabaran yang menanti cukup besar. Di sini permulaan yang benar-benar membuatkannya mencintai profesion perguruan.
“Di sini guru-guru mengajar dalam pelbagai aras. Bukan sahaja mengajar murid tahun 6 dalam satu kelas, manakala murid tahun 4 dan 5 gabung, begitu juga murid tahun 2 dan 3 di samping satu kelas bagi tahun 1,’ ujarnya.
Dia menyifatkan tahun pertama dilalui sebagai guru di sekolah itu sebagai `melemaskannya’ apabila bagaikan bercakap bersendirian tanpa banyak tindak balas murid-murid sehingga sehingga dia sendiri akhirnya berasa tidak puas hati dengan cara pengajarannya dan tahap pemahaman murid.
“Namun apabila melihat wajah mereka, timbul suatu perasaan dalam diri saya untuk membantu mereka sedaya mungkin. Di sini pendidikan bergantung 100 peratus kepada sekolah, sebagaimana apa yang pernah saya lalui, “ katanya.
Lalu dia berusaha membuat penyelidikan dengan mengumpulkan buku teks dari tahun 1 hingga 6, dan dari situ membuat kesinambungan berasaskan analisis kelemahan murid bagi menyediakan modul yang memudahkan, bermula dengan Matematik.
“Awalnya tahap lulus sekitar 30 peratus setiap tahun dan kami berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah manakala dalam Bahasa Inggeris tahap kelulusan sekitar 20 peratus kepada lebih 80 peratus.
“Saya teringkat pesanan seorang guru, agar melihat murid dengan mata hati bukan ajar semata mata. Abaikan pandangan negatif kita berkhidmat untuk murid. Ada murid, baharu ada guru,” ujarnya lagi.
Katanya, di SK Pasir Raja, warga guru bekerja saling berganding bahu dalam pasukan mantap, dengan guru besar yang sentiasa memberi dorongan dengann rangsangan oleh anggota masyarakat yang memberi kepercayaan.
“Kami guru-guru bergilir-gilir mengadakan kelas tambahan percuma, dan pada hujung minggu dengan persetujuan ibu bapa membawa mereka ke rumah sebagai pendedahan kepada persekitaran luar di samping menjayakan kem-kem motivasi.
“Fokus bukan sahaja kepada akademik tetapi pembangunan sahsiah dan kemenjadian murid. Bagi guru melihat kejayaan masa depan mereka juga tentunya sebagai hadiah untuk kami,” katanya.
Shanrudin yang pernah menerima beberapa anugerah termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan Guru Inovatif Dungun 2016 bakal menamatkan zaman bujangnya tahun ini setelah menemukan pilihan hatinya yang tentunya telah menyelami bagaimana kehidupan seorang guru. – UTUSAN ONLINE

No comments