Warga emas nyaris rentung, merangkak selamatkan diri dalam kebakaran
Warga emas nyaris rentung, merangkak selamatkan diri dalam kebakaran
KUALA TERENGGANU – “Keluar ayah… keluar ayah… ayah nak keluar la ni,”.
Demikian merupakan kata-kata menantu Wan Ibrahim Muda, 70 tahun ketika warga emas itu terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai, Kuala Terengganu.
Dengan kudrat yang ada, Wan Ibrahim merangkak menyelamatkan diri keluar dari rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam tadi.
Warga emas itu, ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila terselamat dalam insiden terbabit.
“Pada kejadian itu saya sedang bersendirian di rumah dan apabila api marak saya berasa inilah pengakhiran hidup saya.
“Namun apabila pihak bomba sampai saya senang hati sebelum dengan suara menantu dari luar rumah meminta saya keluar dengan cepat. Saya pun merangkak keluar,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Rozizah Abnihajar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.10 malam.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi rumah terbabit sudah musnah 100 peratus dan api berjaya dikawal dari merebak ke rumah berhampiran dalam masa 11 minit.
“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 23.10 malam dan kami sampai dalam masa 12 minit ke tempat kejadian yang mana seramai 15 orang anggota dan tiga jentera serta satu Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dikejarkan ke tempat kejadian dari Balai Bomba Kuala Terengganu.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malayasia,” katanya.
Post a Comment