Insentif untuk ibu dan bapa tunggal berkahwin
Insentif untuk ibu dan bapa tunggal berkahwin
KERAJAAN negeri memberikan bantuan RM1,000 kepada ibu dan bapa tunggal yang ingin melangsungkan perkahwinan bagi meringankan beban golongan itu bermula tahun ini.
Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata perkara ini terkandung dalam touchpoint pertama Bajet Terengganu 2018 Mengurangkan beban rakyat dalam menangani isu PENINGKATAN Kos Sara Hidup yang dibentangkan pada akhir tahun lalu itu.
‘Skim untuk perkahwinan ibu tunggal dan bapa tunggal mulai tahun ini dan diberi bantuan RM1,000 untuk meringankan beban golongan ini, katanya selepas merasmikan bangunan baharu Ibu Tunggal (IT) Kuala Nerus di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal pagi tadi.
Hadir sama Isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Halina Zakaria, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Mohd Shafaruddin Mustaffa, Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad dan mantan Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.
Menurut Ahmad Razif, dalam Bajet 2018 golongan ibu dan bapa tunggal terus dibantu dengan pelbagai program yang diatur untuk mereka termasuk peruntukan sebanyak RM 1 juta ringgit untuk melaksana Program Peningkatan Ekonomi, Bimbingan Perundangan, Program Pemantapan Keluarga Tunggal dan Sokongan Sosial, dan Program Kesedaran Penjagaan Kesihatan dan skim galakan perniagaan melalui Program Jayadiri yang memberi peluang baharu kepada orang ramai, terutama ibu tunggal dan suri rumah.
Perdana Menteri juga telah mengumumkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita yang membuktikan kecaknaan kerajaan terhadap golongan wanita yang memastikan kebajikan golongan ini sentiasa terbela.
Post a Comment