Header Ads

Restoran berkonsepkan kapal terbang jadi tarikan terbaharu di LTSM

Restoran berkonsepkan kapal terbang jadi tarikan terbaharu di LTSM


KUALA NERUS – Kerajaan negeri akan mengubahsuai sebahagian bangunan di Gerbang Galeri Pelancongan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk dijadikan restoran T-Kitchen yang berkonsepkan restoran dalam kapal terbang.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata restoran itu akan menjual pelbagai makanan tradisional popular Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor.
“Kewujudan restoran baharu itu bakal menjadi daya tarikan terbaharu di Terengganu khususnya di Kuala Nerus kerana konsepnya yang unik dan tersendiri.
“Selain menikmati hidangan di dalam restoran, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan pandu jika ingin menikmati makanan tersebut di tempat lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan laluan baharu pesisir pantai sepanjang 6.8 kilometer, menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu (KTCC) ke LTSM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata projek naik taraf restoran T-Kitchen itu akan diadakan dalam masa terdekat dan ia adalah sebahagian daripada proses menambah perkhidmatan untuk pengunjung LTSM.
“Kita jangkakan LTSM akan semakin sibuk kerana saya dimaklumkan Air Asia akan menambah jumlah kekerapan penerbangan dari Johor ke Kuala Terengganu sebanyak enam kali seminggu berbanding tiga kali setakat ini.
“Tourism Malaysia pula memaklumkan tidak lama lagi terdapat penerbangan sewa khas dari China ke LTSM. Jadi restoran T-Kitchen dengan konsep unik ini bakal menjadi antara tarikan buat pelancong dalam dan luar negara menikmati hidangan tradisional Terengganu dengan suasana seperti di dalam kapal terbang,” katanya.
T-Kitchen adalah sebuah anak syarikat Menteri Besar Terengganu Incorporated dan setakat ini telah mengimport nasi dagang sejuk beku ke pasaran Australia pada akhir tahun lalu.

No comments