Lebih 100 menu roti canai
Lebih 100 menu roti canai
SEPASANG suami isteri perkenal menu moden itu kepada warga Kolej UBC
Kemudahan jalur lebar dan maklumat di hujung jari telah memberi ilham kepada sepasang suami isteri untuk menghasilkan lebih 100 menu roti canai.
Amri Mustafa, 40, yang mengusahakan gerai Roti Canai 100 Menu di dalam kampus Kolej Universiti Bestari (UCB), di sini memperkenalkan roti canai moden itu kepada warga kolej sejak empat bulan lalu.
Menurutnya, idea mencipta pelbagai menu sehingga mampu menghasilkan lebih 100 jenis roti canai itu cetusan isterinya, Nurul Safikah Hassan, 32.
"Dia (isteri) suka tengok gambar-gambar makanan dekat internet. Dari situ dia dapat idea dan kami cuba perkenal menu-menu ini di sini dan cawangan lain.
"Alhamdulillah sambutan sangat baik. Lagipun harga ditawarkan agak rendah sebab pelanggan saya pelajar selain kakitangan UCB itu sendiri. Tapi harga di cawangan luar kampus pun tetap sama seperti di sini," katanya.
Mahu perkenal roti canai hitam
Amri berkata, sebelum ini dia berniaga roti canai selama empat tahun di banyak tempat tetapi kali ini nekad mahu mengusahakannya sendiri.
"Banyak lagi idea untuk menambah menu pada roti canai itu tetapi akan dilakukan secara berperingkat termasuk mahu memperkenalkan roti canai hitam yang sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan," katanya.
Tambahnya, promosi banyak dilakukan dalam Facebook peribadi isteri sebagai usaha meluaskan lagi pasaran Roti Canai 100 Menu ini.
"Antara yang dapat sambutan ialah roti pizza cheese, roti telur cheese caramel, roti tuna dan banyak lagi.
"Harga yang dijual juga serendah RM2 hingga RM12 iaitu roti aiskrim hidangan besar," katanya.
Katanya, ada juga pelajar di situ yang meminta roti canai selain daripada menu yang disediakan dengan menggabungkan beberapa menu sedia ada.
“Lama-kelamaan menu roti canai di sini dah lebih 100 menu hasil idea mereka (pelajar) juga.
“Roti canai biasa pun ada di sini tetapi ramai pelanggan yang pesan roti canai moden mungkin kerana mereka ingin mencuba sesuatu yang baru,” katanya.
Biarpun baru bertapak di UCB, Amri menyediakan 10 hingga 15 kilogram doh roti canai dalam masa sehari ekoran permintaan yang tinggi di kolej berkenaan.
Antara menu roti canai yang terdapat di gerainya ialah roti pisang milo tabur, roti cotek, roti telur kismis susu, roti kosong kurma, roti aiskrim dan banyak lagi.
Post a Comment