PELAJAR LEMAS
DUNGUN 3 Julai 2017
Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Dungun, lemas setelah dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil sebiji bola sepak dalam kejadian di Lubuk Delong, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Che Wan Haziq Haiqal Cik Wan Othman 14 tahun bersama lapan rakannya yang lain dikatakan sedang bermain bola sepak di tepi sungai berkenaan sebelum mangsa dikatakan turun untuk mengambil bola yang hanyut ke dalam air.
Mangsa dikatakan secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras dan disedari seorang rakannya yang cuba membantu menyelamatkannya namun turut dihanyutkan arus berkenaan.
Menyedari keadaan itu, rakan yang lain hanya sempat menyelamatkan seorang daripada mereka manakala mangsa gagal diselamatkan dan hilang dihanyutkan arus.
Menurut sepupu mangsa, Rosli Hamzah 49 tahun ketika ditemui berkata, sebelum kejadian mangsa ada datang ke rumahnya untuk mengajak anaknya bermain bola sepak di tepi sungai berkenaan.
Bagaimanapun Rosli berkata mangsa dikatakan telah pergi dahulu untuk bermain bola sepak sebelum mendapat khabar berita daripada rakan-rakannya mengenai kejadian itu sejurus kemudian.
Sementara itu Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Zakariya Mohammad berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun tiba di lokasi kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 7.01 malam tadi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit.
Pasukan SAR terpaksa melakukan pencarian di permukaan air sebelum Unit Penyelam Balai Bomba dan Penyelamat Chukai tiba bagi melakukan pencarian di dasar sungai namun sehingga lewat malam tadi masih gagal ditemui.
Operasi SAR akan disambung semula pada awal pagi esok (hari ini) melibatkan kawasan pencarian yang lebih luas di sekitar sungai tersebut.
Post a Comment