Header Ads

22 pelajar ditangkap dadah sepanjang 2017

22 pelajar ditangkap dadah sepanjang 2017



BESUT - Seramai 22 pelajar di seluruh daerah ini ditangkap tahun lepas kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, daripada jumlah itu seorang pelajar sekolah menengah di daerah ini ditangkap kerana mengedar dadah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Menurutnya, jumlah tangkapan tahun lepas menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelum itu seramai 17 sahaja dan peningkatan tersebut susulan pihak polis mempertingkatkan operasi.

“Polis juga telah menahan 62 pelajar sekolah pada tahun lepas kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah seperti curi motosikal, pecah rumah dan jenayah kekerasan termasuk seorang  melanggar guru sekolah.

“Sementara pada tahun 2016 seramai 81 pelajar ditangkap dalam pelbagai kesalahan seperti jenayah kekerasan apabila wujud satu geng buli namun berjaya dipatahkan pihak polis.

“Walaupun begitu, penglibatan pelajar sekolah dalam salah laku jenayah dan dadah di daerah ini masih terkawal dan pihaknya sering mengadakan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dalam menangangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pemimpin-Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud di sini semalam.

Hadir sama Pengetus SMK Tengku Mahmud, Shafii Yaacob dan Ketua Polis Balai Kampung Raja, Asisten Superintendan Afandi Hussin.

Mohd Zamri berkata, pihaknya turut memantau penglibatan pelajar dalam aktiviti merempit atau lumba motosikal haram dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pelajar terlibat

Dalam pada itu beliau menasihatkan agar pelajar tidak terlibat dalam aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah kerana jika nama tercatat mempunyai rekod jenayah atau dadah  ia akan menyulitkan peluang pelajar untuk mendapatkan sebarang pekerjaan dengan mana-mana jabatan kerajaan atau badan berkanun pada masa hadapan.

Beliau turut menasihati guru-guru sekolah agar tidak mengambil tindakan displin terhadap pelajar  melebihi peraturan ditetapkan untuk mengelak berlaku konflik seperti tindakan mahkamah oleh ibu bapa pelajar kepada guru.

“Dalam perkara ini, semua pihak perlu bertolak ansur seperti pelajar perlu mengganggap guru seperti ibu bapa mereka untuk mengelak berlaku saman-menyaman,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, pihak sekolah perlu memastikan kawalan keselamatan oleh pengawal keselamatan yang dilantik dipertingkatkan untuk mengelak kejadian tidak diingini di sekolah berlaku seperti kecurian dan sebagainya.

Menurutnya, sebelum ini beliau telah mengarahkan unit kereta peronda melawat pusat kawalan sekolah terutama sekolah berasrama penuh dan sekolah berisiko lain bagi memastikan pengawal keselamatan melaksanakan tugas mereka.


No comments