Header Ads

54,824 Calon Peperiksaan UPKK Dapat 8A, Meningkat 18 Peratus

54,824 Calon Peperiksaan UPKK Dapat 8A, Meningkat 18 Peratus


Seramai 54,824 calon peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2017 mendapat 8A, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata bilangan itu meningkat sebanyak 18 peratus berbanding 46,461 calon mendapat 8A pada tahun 2016.
Dalam kenyataan di sini hari ini, Jamil Khir berkata seramai 21,639 calon mendapat 7A, manakala 21,462 mendapat 6A dan 23,950 calon lagi mendapat 5A.
Menurutnya, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti mata pelajaran Al-Quran yang mencapai 99.7 peratus kelulusan.
Jamil Khir berkata pencapaian ini sekaligus menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, katanya mata pelajaran Jawi dan Khat mencapai 94.8 kelulusan, Lughatul Quran (91 peratus), Adab (Akhlak Islamiah) (93 peratus), Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) (85.7 peratus) dan Sirah (87 peratus).
Calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula pukul 2 petang ini atau semakan secara dalam talian di semakan.islam.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke mySMS 15888 bermula pukul 11 pagi ini hingga 5 petang dan dibuka hingga 5 Feb 2018.
Dalam pada itu, katanya, bermula tahun ini, keputusan UPKK akan diumumkan dalam tahun semasa dan semakan maklumat calon yang berdaftar juga boleh dibuat oleh ibu bapa atau penjaga secara dalam talian.
“Selain itu, pendaftaran calon kepada bukan warganegara dibuka mulai tahun ini mengikut syarat ditetapkan,” katanya. – Bernama

No comments