Header Ads

Macau Scam: pensyarah rugi RM20,000


Macau Scam: pensyarah rugi RM20,000


KUALA TERENGGANU - Seorang pensyarah wanita sanggup mendedahkan kata laluan akaun bank peribadi disebabkan terlalu takut selepas menerima panggilan memaklumkan identitinya disalah guna oleh seorang individu untuk urusan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang padah apabila mangsa berusia 34 tahun terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 kerana menjadi mangsa penipuan dipercayai daripada sindiket 'Macau Scam'.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas mangsa yang ketika itu berada ditempat kerjanya di Kuala Nerus ada menerima satu panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri dari Mahkamah Majistret Pahang, kira- kira jam 11.30 pagi, pada Selasa lalu.

Sumber berkata, individu terbabit menyerahkan panggilan kepada seorang kakitangan sebuah bank yang memaklumkan mangsa memiliki tunggakan kad kredit berjumlah hampir RM30,000.

"Mangsa menafikan dakwaan itu dengan memaklumkan yang dia tidak pernah memiliki kad kredit dari bank berkenaan sebelum disarankan agar membuat laporan.

"Seterusnya panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Kontinjen Pahang sebelum diperkenalkan seorang lelaki yang mendakwa sebagai Inspektor.

"Lelaki itu seterusnya memaklumkan identiti mangsa sudah digunakan oleh seorang lelaki untuk melakukan urusan pengedaran dadah dan penggubalan wang haram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas sumber, terkejut dengan makluman diterima, mangsa menangis kerana terlalu takut sebelum bersetuju mendedahkan kata laluan beberapa akaun bank miliknya.

"Mangsa juga diberitahu tidak boleh mengaktifkan akaun miliknya dalam tempoh 24 jam kerana dia hendak membuat pemeriksaan kewangan mangsa.

"Mangsa juga dilarang sama sekali memberitahu kepada sesiapa berkaitan urusan tersebut kerana masih dalam siasatan," katanya.

Sumber berkata, mangsa bagaimanapun merasa tidak sedap hati sebelum menghubungi suaminya memaklumkan hal berkenaan.

"Suami mangsa terus membuat semakan di semua akaun bank melalui talian sebelum mendapati kehilangan wang hampir RM20,000," katanya.

Yakin dirinya sudah ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

No comments